Monday, June 22, 2009

WaRKaH BuaT BaKaL SuaMiKu..

بسم الله الرحمن الرحيم

أَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dalam tak tahu apa yang aku nak buat pada minggu cuti kat ump ni..dengan xdapat balik rumahnya lagi,wa..sedihnya rasa.. aku ingin berkongsi sedikit cerita buat semua rakan-rakan tentang sebuah warkah yang bagiku ia agak menarik yang telah ku ambil dalam blog i luvislam..ia amat sesuai dihayati terutamanya kaum hawa.adakalanya manusia itu xterlepas dari merasai semua ini..jadi..renung-renungkan dan selamat beramal...



Buatmu,

Bakal suamiku.

Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkanku begitu berani untuk mencoretkan sesuatu untuk dirimu yang tidak pernah kukenali. Aku sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diriku kepada sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang khusus buatmu sebelum tiba masanya. Kehadiran seorang lelaki yang menuntut sesuatu yang aku jaga rapi selama ini semata-mata buatmu. Itulah hatiku dan cintaku, membuatkan aku tersedar dari lenaku yang panjang.

Aku telah dididik ibu semenjak kecil agar menjaga maruah dan mahkota diriku kerana Allah telah menetapkannya untuk suamiku, iaitulah dirimu suatu hari nanti. Kata ibu, tanggungjawab ibubapa terhadap anak perempuan ialah menjaga dan mendidiknya sehingga seorang lelaki mengambil alih tanggungjawab itu dari mereka. Jadi, kau telah wujud dalam diriku sejak dulu lagi. Sepanjang umurku ini.

Aku menutup pintu hatiku daripada mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu membelakangimu. Aku menghalang diriku dari mengenali mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu mengenali lelaki lain selainmu, apatah lagi memahami mereka. Kerana itulah aku sedaya kudrat yang lemah ini membatasi pergaulanku dengan bukan mahramku. Aku sering sahaja berasa tidak selamat diperhatikan lelaki. Bukanlah aku menyangka buruk terhadap mereka, tetapi lebih baik aku berjaga-jaga kerana contoh banyak di depan mata. Apabila terpaksa berurusan dengan mereka, akan aku buat ‘expressionles face’ dan ‘cool’. Akan aku palingkan wajahku daripada lelaki yang asyik merenungku ataupun cuba menegurku. Aku seboleh-bolehnya melarikan pandanganku daripada ajnabi kerana pesan Sayyidatina ‘Aisyah R.A ;

“sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan dipandang”

Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di matamu. Apa guna aku menjadi idaman ramai lelaki sedangkan aku hanya boleh menjadi milikmu seorang. Aku tidak merasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan aku merasa terhina diperlakukan sebegitu seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati. Aku juga tidak mahu menjadi punca kejatuhan seseorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat kuberikan.

Bagaimana akan aku jawab di hadapan Allah kelak andai disoal?

Adakah itu sumbanganku kepada manusia selama hidup di muka bumi?

Kalau aku tidak ingin kau memandang perempuan lain, aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki kelemahan dan menghias peribadiku kerana itulah yang dituntut Allah. Kalau aku inginkan lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi perempuan yang baik.

Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?

Tidak dapat aku nafikan, sebagai remaja aku memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Namun, setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahawa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untukmu. Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi lebihan lelaki lain. Lelaki itu berhak mendapat kasih yang tulen, bukan yang telah dibahagi-bahagikan.

Diriku yang sememangnya lemah ini diuji Allah apabila seorang lelaki secara tidak sengaja mahu berkenalan denganku. Aku secara keras menolak, pelbagai dalil aku dikemukakan, tetapi dia tidak mahu mengalah. Lelaki itu tidak hanya berhenti di situ. Dia sentiasa menghubungi dan menggangguku. Aku berasa amat tidak tenteram, seolah-olah seluruh hidupku yang ceria selama ini telah dirampas dariku. Aku tertanya-tanya adakah aku berada di tebing kebinasaan. Aku beristighfar memohon keampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Dia melindungi diriku daripada sebarang kejahatan. Kehadirannya membuatkan aku banyak memikirkanmu. Kau kurasa seolah-olah wujud bersamaku. Di mana sahaja aku berada, akal sedarku membuat perhitungan denganmu. Aku tahu lelaki yang melamarku itu bukan dirimu. Malah aku yakin pada gerak hati, ‘woman intuition’ku yang mengatakan lelaki itu bukan kau.

Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku ini untuk memilih berlian sedangkan aku hanya sebutir pasir yang wujud di mana-mana. Tetapi aku juga punyai keinginan seperti gadis lain, dilamar lelaki yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, memimpinku ke arah tuju yang satu. Tidak perlu kau memiliki wajah seindah Nabi Yusuf A.S yang mampu mendebarkan jutaan gadis untuk membuatku terpikat. Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz, Allah pasti mencampakkan rasa kasih di dalam hatiku, jua hatimu kali pertama kita berpandangan. Itu janji Allah. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan kau zahirkan perasaanmu itu kepadaku kerana kau masih tidak mempunyai hak untuk berbuat begitu. Juga jangan kau lampaui batasan yang telah ditetapkan syara’. Aku takut perlakuanmu itu akan memberi impak yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak. Permintaanku tidak banyak, cukuplah dirimu yang diinfak seluruhnya pada mencari redha Ilahi.

Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untuk berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu. Akan aku kesat darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itulah impianku. Aku pasti berendam airmata darah andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu padaku. Bukan itu yang aku impikan. Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu. Kerana dengan mencintai Allah kau akan mencintaiku kerana-Nya. Cinta itu lebih abadi dari cinta insan biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga.

Aku juga tidak ingin dilimpahi kemewahan dunia. Cukuplah dengan kesenangan yang telah diberikan ibubapaku dulu. Apa guna kau menimbun harta untuk kemudahanku sekiranya harta itu membuatkan kau lupa pada tanggungjawabmu terhadap agamamu. Aku tidak akan sekali-kali bahagia melihatmu begitu. Biarlah kita hidup di bawah jaminan Allah sepenuhnya. Itu lebih bermakna bagiku.

Dariku,

Bakal isterimu

Saturday, June 20, 2009

Saidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda , “Hai Aisyah, aku berwasiat kepada engkau. Hendaklah engkau sentiasa mengingati wasiatku ini. Sesungguhnya engkau akan sentiasa di dalam kebajikan selama engkau mengingati wasiatku ini.”

Intisari wasiat Rasulullah s.a.w. tersebut dirumuskan seperti berikut. Hai Aisyah, peliharalah diri engkau. Ketahuilah bahawa sebahagaian besar daripada kaum engkau (kaum wanita) adalah menjadi kayu api di dalam neraka. Antara sebab-sebabnya ialah kerana mereka itu:

Tidak dapat menahan sabar dalam menghadapai kesakitan (kesusahan). Apabila dibalakan, mereka tidak bersabar.

Tidak memuji Allah s.w.t. di atas kemurahan Nya (mensyukuri nikmat), atau dalam erti kata lain mengkufuri nikmat.

Membanyakkan kata-kata yang sia-sia. Wahai Aisyah, ketahuilah bahawa:

  1. Wanita yang menidak-nidakkan kebajikan (kebaikan) yang diberikan oleh suaminya akan digugurkan oleh Allah Taala akan amalannya.
  2. Wanita yang menyakiti hati suaminya dengan lidahnya, maka pada hari kiamat, Allah menjadikan lidahnya 70 hasta dan dibelitkan di tengkuknya.
  3. Isteri yang memandang jahat (menuduh atau menaruh sangkaan buruk terhadap suaminya), Allah akan menghapuskan muka dan tubuhya pada hari kiamat.
  4. Isteri yang tidak memenuhi kemahuan suaminya (yang halal/harus) di tempat tidur atau menyusahkan urusan ini atau mengkhianati suaminya, akan dibangkitkan Allah pada hari kiamat dengan muka yang hitam, matanya kelabu, ubun-ubunnya terikat kepada dua kakinya di dalam neraka.
  5. Wanita yang mengerjakan sembahyang dan berdoa untuk dirinya tetapi tidak untuk suaminya, akan dipukul mukanya dengan sembahyangnya.
  6. Wanita yang dikenakan bala ke atasnya lalu dia menampar-nampar mukanya atau mencarik-carikkan pakaiannya, dia akan dimasukkan ke dalam neraka bersama dengan isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Luth dan tiada harapan mendapat kebajikan syafaat dari sesiapa pun.
  7. Wanita yang berzina akan diderakan dia di hadapan segala makhluk di hadapan neraka pada hari kiamat dan tiap-tiap perbuatan zina dengan 80 cemeti daripada api.
  8. Isteri yang mengandung itu adalah baginya pahala seperti berpuasa pada siang harinya dan mengerjakan qiamullail pada malamnya serta pahala berjuang fisabilillah.
  9. Isteri yang bersalin, bagi tiap-tiap kesakitan yang dideritainya diganjari pahala memerdekakan seorang sahaya. Demikian juga pahalanya setiap kali menyusukan anaknya.
  10. Wanita apabila bersuami dan bersabar daripada menyakiti suaminya, maka samalah dengan titik-titik darah dalam perjuangan fisabilillah. Dialah antara wanita-wanita yang qanitat (banyak beribadat kepada Allah s.w.t.)

Semoga Allah beri kekuatan kepada kita untuk mengamalkan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Insyaallah..
bm3

Friday, June 19, 2009

Warning!!!

Pesanan buat ukhti,,,

BENARKAH jodoh bagaikan menanti jambatan

untuk ke seberang? Kalau panjang jambatannya,

jauhlah perjalanannya namun andainya jambatan

itu pendek, barangkali cepat jodohnya.

Ada orang cepat bertemu jodoh sebab

jambatannya singkat.

Usia 25 tahun rasanya belum terlalu lewat untuk

bertemu jodoh. Mereka yang berusia 35 tahun pula

tidak perlu gundah jika belum bertemu jodoh

kerana sepanjang usia berkenaan

digunakan untuk membina kecemerlangan.

Bahkan ada yang sudah mencecah 40-an,

tetapi jodoh belum juga tiba.

Namun, tidak berputus asa menjadi asas terbaik

buat wanita. Jika terlalu memikirkan soal

jodoh sehingga mengganggu perasaan,

ia bukanlah sesuatu yang baik.

Bagi wanita yang berpandangan jauh, boleh saja

menyatakan pada diri bahawa ia semua

ketentuan takdir dalam soal rezeki,

jodoh mahupun ajal..

Katakan kepada diri bahawa jodoh

anda mungkin belum sampai lagi.
Nyatakan perasaan dan keinginan anda itu

dalam doa lewat sembahyang.. Allah Maha mendengar.
Selain itu, beberapa perkara perlu difikirkan untuk

renungan wanita yang belum bertemu jodoh.
Ingatlah wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya

wanita jahat untuk lelaki yang jahat..

Biar lambat jodoh asalkan mendapat lelaki

sejati dan biar seorang diri daripada

menjadi mangsa lelaki yang tidak

beriman suatu hari nanti.

Persoalannya, apakah anda sudah bersedia

memikul tanggungjawab bergelar isteri atau ibu?

Sudahkah bersedia menjalani pelbagai

rintangan hidup berumahtangga?
Berikut adalah falsafah dan firasat mengenai jodoh

serta hidup berpasangan buat renungan

mereka yang enak dibuai perasaan:
- Memang kita mudah tersilap mentafsir

kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti

bahagia kalau mendapat itu dan ini. Hakikatnya,

apabila kita benar-benar mendapat apa yang diingini,

ia juga datang bersama masalah.

Bukan semua yang anda sangka membahagiakan

itu benar-benar membahagiakan.

Bahagianya mungkin ada, tetapi deritanya

datang bersama. Semua benda, pasti ada baik buruknya.

Perkahwinan juga demikian.

Ia baik sebab dibenarkan agama dan

sunnah Nabi sebagai saluran betul untuk

melepaskan syahwat di samping membina

sahsiah, tetapi ia juga buruk sebab

ramai orang yang berkahwin

hidupnya semakin tidak terurus.

- Ramai orang menempah neraka sebaik saja

melangkahkan kaki ke alam berumah tangga.

Bukankah dengan ijab dan kabul

selain menghalalkan hubungan kelamin,

tanggungjawab yang banyak juga

terpaksa dipikul? Bukankah apabila

anda gagal melaksanakannya,

anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka?

- Berapa ramai yang menyesali

perkahwinan masing-masing pada hal dulunya

mereka bermati-matian membina janji,

memupuk cinta kasih,

malah ada yang sanggup berkorban apa

saja asalkan segala impian menjadi nyata?

Jika tidak sanggup untuk bergelar isteri,

tidak usah berkahwin dulu.

Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk

bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu.

- Jika rasa belum bersedia untuk

bersabar dengan kerenah anak-anak,

carilah dulu kesabaran itu. Jangan

berkahwin dulu sebab hakikatnya, ramai

yang tidak bersedia untuk melangkah,

tetapi sudah melompat, akhirnya jatuh

terjerumus dan tidak jumpa akar

berpaut tatkala cuba mendaki naik.

- Berkahwin itu indah dan nikmat bagi

yang benar-benar mengerti tuntutannya.

Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak

putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang

untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan

dan menjadikan syurga sebagai matlamat.

Berkahwin itu sempadan daripada

ketidaksempurnaan insan kepada

kesempurnaan insan - bagi yang mengetahui rahsianya.

- Berkahwinlah anda demi Tuhan dan

Nabi bukan berkahwin kerana perasaan

dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan,

tiba masanya ia

akan datang menjemput, namun perlu

juga anda membuka lorongnya supaya

jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang.